Recent Posts

Thursday, January 28, 2010

Rawatan buasir


bminggu@bharian.com.my

Pembedahan haemorrhoidectomy pilihan akhir atasi masalah serius

Soalan:


Saya berusia pertengahan 30-an dan mempunyai tiga anak. Saya dikesan mengalami masalah buasir sejak anak pertama lagi. Bagaimanapun, buasir yang saya alami jenis dalam. Apabila keluar, saya hanya menekannya ke dalam.

Apabila bertemu doktor, saya dinasihatkan untuk berdiet dan mengambil lebih banyak serat dan cecair. Bagaimanapun saya sudah malas hendak melakukannya kerana sudah terlalu lama mengamalkan diet tetapi ia tidak juga sembuh. Saya memikirkan untuk melakukan pembedahan saja bagi membuang buasir ini. Apa nasihat doktor?


Pertama menggunakan rawatan secara perubatan, misalnya ointmen seperti zink oksida dan jeli petroleum boleh digunakan untuk mencegah kecederaan dan mengurangkan kegatalan pada dubur. Ada kalanya ointment mengandungi steroid boleh membantu mengurangkan inflamasi dan kegatalan pada dubur sementara ointmen yang mengandungi ubat pelali digunakan jika buasir itu menyakitkan.

Ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) pula digunakan bagi mengurangkan sakit dan bengkak pada dubur. Kaedah ini saya rasa berkesan bagi kes buasir yang akut.

Pada masa sama, kita juga harus memahami yang cara hidup kita mestilah berubah sama bagi mengurangkan risiko buasir berulang semula.

Ini seperti:

  • Mengelak sembelit dengan mengambil lebih banyak makanan berserat tinggi seperti bijirin, sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang. Makanan yang berserat tinggi boleh diambil bagi membantu najis menjadi lembut. Senaman dan mengambil makanan berfiber tinggi membantu perjalanan buang air besar.

  • Elakkan pengambilan julap kerana ia menyebabkan cirit birit dan memburukkan lagi buasir.

  • Elakkan minuman berkafein seperti teh dan kopi. Minum sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas air sehari bagi mengelakkan badan kekurangan air dan berdepan masalah sembelit

  • Amalkan pembuangan air besar yang baik seperti mengelak meneran terlalu kuat. Segeralah ke bilik air jika ada gesaan untuk membuang air besar.

  • Jangan amalkan membaca dalam bilik air terlalu lama kerana akan menyebabkan buasir menjadi teruk.

  • Pastikan tidak duduk dan berdiri terlalu lama serta jangan mengangkat barang berat.

    Daripada apa yang puan nyatakan, puan malas mengamalkan cara itu, maka hanya tinggal satu saja cara yang boleh membantu puan iaitu pembedahan buasir atau haemorrhoidectomy.

    Majoriti buasir tidak memerlukan pembedahan dan selalunya menjadi pilihan terakhir bagi kes yang serius. Pembedahan boleh dipertimbangkan sekiranya kaedah perubatan dan pencegahan gagal membantu.

    Sekiranya simptom buasir mengganggu cara hidup kita seperti sakit, perdarahan dan berlaku jangkitan kuman maka pembedahan boleh dipertimbangkan.

    Ada beberapa kaedah pembedahan yang digunakan seperti mengikat buasir dengan getah, laser dan diatermi bagi buasir yang kecil. Jika buasir itu besar dan dan tidak boleh dimasukkan semula ke dalam dubur, maka buasir dibuang dengan cara biasa. Kaedah ini dianggap yang paling berjaya dari kaedah-kaedah lain.

    Komplikasi pembedahan ini adalah perdarahan, sakit dan infeksi. Sekiranya puan hamil selepas pembedahan, kemungkinan buasir ini boleh berulang semula. Oleh kerana itu saya cadangkan puan lakukan pembedahan selepas puan tiada keinginan untuk hamil lagi kecuali buasir ini betul-betul sudah menyusahkan puan.

    Bagi anda yang memiliki kemusykilan mengenai kesihatan, sila hantarkan soalan kepada “Doktor di Berita Minggu” melalui e-mel, bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur. Soalan anda akan dijawab Dr Suhaimi Isa, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pantai Ampang dan Dr Idora Mohamad, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Pantai, Bangsar.

  • sumber Berita Minggu 10/01/2010

    2 comments:

    1. saya nk tanya saya mengidap penyakit buasir tahap 3..adakah ini akan memberi kesan kepada organ dalaman saya jika saya tidak melakukan pembedahan...

      ReplyDelete
    2. adakah wajib untuk seseorang pengidap buasir tahap3 untuk menjalani pembedahan...

      ReplyDelete

    إِنِّي أَعِظُكَ أَن تَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ
    Sesungguhnaya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu jangan termasuk orang-orang yang bodoh. (QS Hud : 46).

    Note: Only a member of this blog may post a comment.

    Jejaki Sahabat

    Pos Terkini